Encik Adenan Md Yusof

Pengarah Urusan Kumpulan

Encik Adenan Md Yusof telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Amanah Raya Berhad pada 1 September 2016.

Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi anak syarikat Kumpulan AmanahRaya iaitu AmanahRaya-REIT Managers Sdn. Bhd, pengurus kepada dana tersenarai yang dikenali sebagai AmanahRaya Real Estate Investment Trust (ARREIT).

Semasa menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi di syarikat berkenaan bermula pada tahun 2010 sehingga 2015, ARREIT telah mencatatkan pertumbuhan yang konsisten dengan pulangan mapan dan stabil bagi pemegang-pemegang sahamnya.

Selepas memperolehi Ijazah di dalam bidang senibina di Illinois Institute of Technology Chicago, Illinois, Amerika Syarikat, beliau telah berkhidmat di dua syarikat senibina yang terbesar di Amerika Syarikat. Semasa perkhidmatan beliau di Harry Weese and Associates dan juga Lohan Associates, beliau telah memperolehi pengalaman yang sangat berharga di dalam pembinaan beberapa jenis bangunan bertaraf hotel 5 bintang dan juga bangunan pejabat.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1993, beliau diterima bekerja di syarikat berprestij KLCC Berhad dan terlibat secara langsung dalam projek pembinaan Menara Berkembar Petronas.

Pada tahun 1995, beliau menyertai Amanah Capital Partners Berhad dan dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia semua pelaburan hartanah di bawah Amanah Capital Group. Pada tahun 2003 pula, beliau berpindah ke KUB Malaysia Berhad sebagai Pengurus Besar dan selepas itu, dipinjamkan ke KUB Realty Sdn. Bhd, iaitu salah sebuah anak syarikat KUB.

Pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Kumpulan untuk menerajui bahagian pelaburan hartanah di Terengganu Incorporated dan bertanggungjawab di dalam menyediakan pelan strategik pelaburan hartanah bagi syarikat tersebut. Sebelum kembali ke AmanahRaya, beliau merupakan Timbalan Presiden Kanan, Bahagian Projek Khas di UDA Holdings Berhad.

Encik Adenan adalah pemegang lesen Wakil Khidmat Pasaran Modal semenjak Julai 2013 dan pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi ‘Malaysia REIT Managers Association’ juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kawal Selia.

KEMBALI