Soalan Lazim Perkhidmatan Wasiat
 
Am
 
1. Apakah kelebihan membuat wasiat dengan AmanahRaya berbanding tempat lain?
AmanahRaya adalah syarikat milik penuh Kerajaan dan mempunyai pengalaman dan kepakaran selama lebih 90 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam hal penulisan, penyimpanan wasiat dan pelaksanaan wasiat.
2. Berapakah bayaran yang dikenakan untuk membuat wasiat di AmanahRaya sekiranya saya mempunyai lebih dari satu aset?
Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM500 untuk Wasiat Asas dan RM1,200 untuk Wasiat Komprehensif. Fi termasuk penulisan dan penyimpanan wasiat tanpa mengambil kira jumlah aset di dalam wasiat.
3. Apa jenis harta yang boleh saya wasiatkan?
Semua jenis harta yang dimiliki oleh individu boleh diwasiatkan samada harta alih atau harta tidak alih. Harta alih adalah seperti akaun bank, saham, kenderaan, emas, insuran, saham perniagaan dan lain-lain. Manakala, Harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan.
4. Sekiranya wasiat dibuat oleh pihak lain selain AmanahRaya, hanya penyimpanan yang ingin dilakukan di AmanahRaya, berapakah kos penyimpanan yang dikenakan?
Bayaran yang dikenakan bagi penyimpanan wasiat di AmanahRaya adalah RM400 sekiranya melantik AmanahRaya sebagai Wasi / Pemegang Amanah atau RM600 sekiranya tidak melantik AmanahRaya sebagai Wasi / Pemegang Amanah. Kedua-dua pembayaran tersebut adalah untuk seumur hidup.
5. Hutang dan liabiliti saya lebih daripada harta saya. Bolehkah saya menulis wasiat?
Boleh, walaupun hutang melebihi asset.
 
Pendaftaran
 
6. Saya mempunyai beberapa akaun bank. Bagaimanakah cara untuk membuat pembayaran fi bagi pendaftaran “Wills Online”?
Pembayaran fi bagi permohonan secara atas talian hanya boleh dibuat sekiranya pelanggan mempunyai akaun Maybank2u sahaja.
7. Setelah membuat pendaftaran proses wasiat online, apakah langkah seterusnya?
Setelah pendaftaran, pelanggan hanya perlu menunggu pihak AmanahRaya menghantar deraf wasiat dan sekiranya bersetuju dengan kandungan deraf wasiat tersebut, pelanggan boleh membuat temujanji untuk menandatangani wasiat atau pelanggan boleh menandatangani wasiat di tempat sendiri dengan disaksikan oleh dua (2) orang saksi-saksi wasiat yang memenuhi syarat . Pelanggan adalah dinasihatkan agar membawa semua dokumen berkaitan semasa temujanji seperti salinan kad pengenalan pewasiat, penerima dan salinan dokumen berkaitan aset.
8. Apakah kegunaan kad wasiat?
Sebagai dokumen pembuktian seseorang itu mempunyai wasiat di AmanahRaya.
9. Adakah bayaran perlu dibuat untuk setiap pindaan wasiat?
Kadar minima sebanyak RM150 dikenakan bagi setiap pindaan. Namun kadar berkenaan adalah bergantung kepada kandungan Wasiat tersebut.
10. Saya telah membuat wasiat sebelum saya berkahwin tetapi setelah berkahwin saya tidak membuat pengemaskinian wasiat saya. Adakah wasiat tersebut masih sah?
Bagi wasiat muslim, wasiat yang terdahulu dikira sebagai wasiat yang sah kecuali terdapat wasiat baru yang telah dibuat oleh pewasiat. Manakala bagi wasiat bukan muslim, wasiat yang dibuat semasa belum berkahwin akan terbatal secara automatik apabila pewasiat berkahwin.
 
Pelaksanaan
 
11. Bolehkah AmanahRaya menjadi pentadbir sekiranya wasiat ditulis oleh pihak luar seperti peguam atau syarikat peramanahan yang lain?
AmanahRaya boleh mentadbir wasiat tersebut dengan syarat  wasi asal yang dilantik di dalam wasiat perlu membuat akuan Penolakan Pentadbiran dan ditandatangani di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen / Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.
12. Berapa lama diperlukan untuk menyediakan draf Wasiat Komprehensif?
Tempoh untuk menyediakan draf Wasiat Komprehensif ialah 7 hari dari tarikh permohonan lengkap.
13. Berapa lama diperlukan untuk menyediakan draf Wasiat Pindaan?
Tempoh untuk menyediakan draf Wasiat Pindaan ialah 14 hari dari tarikh permohonan lengkap.