Halaman Utama / Hubungi Kami / Polisi Pendedahan Maklumat

Polisi Pendedahan Maklumat

Amanah Raya Berhad komited untuk mempromosikan dan mengekalkan standard yang tinggi dalam hal ketelusan, akauntabiliti, dan etika, serta amalan Tadbir Urus Korporat yang baik di tempat kerja.

Matlamat kami adalah untuk membina persekitaran yang beretika dan adil untuk semua.

“Laporan penyelewengan” merupakan tindakan mendedahkan atau melaporkan secara sukarela kepada Pengurusan AmanahRaya untuk tindakan lanjut terhadap sebarang kelakuan tidak betul yang dilakukan atau akan dilakukan oleh pekerja AmanahRaya.

Polisi Pendedahan Maklumat kami dilaksanakan untuk:

  • Menyediakan saluran kepada semua pekerja dan anggota orang awam untuk melaporkan sebarang kelakuan tidak wajar atau sebarang tindakan yang merosakkan atau boleh merosakkan reputasi AmanahRaya dan/atau mengkompromi kepentingan pihak berkepentingan.
  • Menyediakan saluran pelaporan dalaman yang betul, yang membolehkan laporan mengenai sebarang kelakuan yang tidak wajar atau tidak sah mengikut prosedur yang terkandung dalam dasar ini.
  • Mengendalikan laporan dengan cara yang sesuai dan tepat pada masanya.
  • Menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat dari tindakan balas akibat langsung daripada membuat laporan demi melindungi kerahsiaan individu tersebut.
  • Menyediakan perlakuan yang adil kepada kedua-dua pemberi maklumat dan individu yang didakwa melakukan kesalahan.

PENDEDAHAN MAKLUMAT

Untuk melindungi pemberi maklumat di bawah dasar ini, pemberi maklumat perlu mendedahkan nama, nombor kad pengenalan (NRIC), dan butiran hubungan.

Pendedahan perlu sekurang-kurangnya mengandungi butiran individu yang terlibat, sifat tuduhan, bila dan di mana kejadian berlaku, serta bukti sokongan, jika ada.

Perlindungan penuh akan diberikan kepada pemberi maklumat daripada sebarang amalan yang tidak adil, termasuk tetapi tidak terhad kepada balasan, ancaman, atau ugutan pemutusan/perhentian perkhidmatan, tindakan disiplin, pemindahan, penurunan pangkat, penolakan kenaikan pangkat, atau termasuk sebarang penggunaan kuasa secara langsung atau tidak langsung untuk menghalang hak pemberi maklumat untuk terus menjalankan tugasnya termasuk membuat pendedahan lanjut.

AmanahRaya berhak untuk mengarahkan pendedahan ke saluran aduan lain yang relevan sekiranya pendedahan tidak termaktub dalam dasar ini.