Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) meletakkan sasaran menarik sejuta wasiat daripada kalangan masyarakat negara ini menjelang akhir tahun ini.

AmanahRaya sasar sejuta wasiat menjelang akhir tahun

AYER KEROH: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) meletakkan sasaran menarik sejuta wasiat daripada kalangan masyarakat negara ini menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Adenan Md Yusof, berkata setakat ini, pihaknya sudah menerima amanah untuk menguruskan 975,000 wasiat sejak tahun 1995 dan sasaran baharu itu dijangka mampu dicapai menerusi pelbagai usaha dilaksanakan AmanahRaya.

Katanya, antara usaha terbabit adalah menjalankan kerjasama dengan beberapa koperasi di seluruh negara, di samping melaksanakan aktiviti kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya mereka mewasiatkan harta dengan agensi bertauliah dan berpengalaman seperti AmanahRaya.

“Kita juga menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 kepada pewasiat ke sejuta yang berdaftar dengan AmanahRaya. Ia sebagai galakan untuk orang ramai membuat segera wasiat mereka bagi mengelakkan berlaku perbalahan dalam kalangan ahli keluarga apabila meninggal dunia kelak.

“Bayaran yang dikenakan hanya RM300 seumur hidup dan kos itu adalah yang paling murah dalam pasaran setakat ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mewakili AmanahRaya menandatangani memorandum perjanjian kerjasama (MoA) dengan Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka (KOGMAS) yang diwakili Setiausahanya, Mohd Zain Othman, di Hotel Koperasi Bela Masyarakat (KOBEMAS) di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengerusi KOGMAS, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Menerusi MoA itu, KOGMAS secara rasmi dilantik sebagai ejen AmanahRaya bagi memperkenalkan produk penulisan wasiat kepada masyarakat beragama Islam atau bukan Islam di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, pihaknya yakin mampu memperoleh sejumlah 18,900 pendaftar atau penulis wasiat dari seluruh Melaka apabila semua koperasi di 189 masjid di negeri ini mencari sekurang-kurangnya 100 ahli kariah masing-masing mendaftar wasiat dengan AmanahRaya.

678