AMANAHRAYA LANCAR KEMPEN SEMPENA MERDEKA

Kuala Lumpur, 21 Ogos 2017- Amanah Raya Berhad ( AmanahRaya) hari ini melancarkan Kempen Kemerdekaan 2017 dengan mengedarkan sebanyak 1000 bendera mini kepada para pelanggan dan orang ramai di sekitar Wisma AmanahRaya. Program edaran bendera mini tersebut dihadiri oleh YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi Amanah Raya Berhad dan YBrs Encik Adenan Md Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad. Kibaran jalur gemilang yang diadakan ini merupakan inisiatif AmanahRaya bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan pelanggan dan Warga Kerja Kumpulan AmanahRaya. YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi Amanah Raya Berhad semasa sesi edaran bendera mini berkata ” Sebagai salah sebuah agensi milik penuh kerajaan, program edaran bendera mini merupakan salah satu inisiatif AmanahRaya untuk menyahut seruan kerajaan dalam mempertingkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja kumpulan AmanahRaya dan juga orang ramai bertepatan dengan tema Malaysia “Negaraku : Sehati Sejiwa” yang cukup signifikan untuk menyemai semangat cintakan negara.  Selain itu, AmanahRaya turut menjalankan pelbagai aktiviti kemerdekaan seperti kibaran jalur gemilang dan poster kemerdekaan di bangunan Wisma AmanahRaya, nyanyian lagu Negaraku di sepanjang bulan kemerdekaan serta mempamerkan bendera di ruang kerja kakitangan bagi memupuk semangat perpaduan, memperkukuh jati diri dan penghayatan semangat cintakan negara. Pada masa yang sama inisiatif ini dilaksana bagi mendekatkan diri dengan masyarakat untuk turut sama menghayati erti kemerdekaan sempena sambutan kemerdekaan pada tahun ini.”

YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik pada masa yang sama turut berkongsi peranan AmanahRaya dalam mengalakkan masyarakat merancang pewarisan menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Maklumat mengenai Kempen Wasiat ke-1juta turut diwar-warkan di mana Pewasiat yang ke-1juta akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.00. Maklumat mengenai kempen tersebut telah dimuat naik di Laman Sosial AmanahRaya.

Program edaran tersebut yang bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan dan warga kerja Kumpulan AmanahRaya.

TAMAT

516