AMANAHRAYA LANJUT TEMPOH PROMOSI PENDAFTARAN WASIAT

Kuala Lumpur, 4 Januari 2017- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini mengumumkan promosi pendaftaran Wasiat yang berakhir pada akhir tahun lepas akan dilanjutkan bermula hari ni sehingga 15 Februari 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Encik Adenan Md Yusof telah mengumumkan lanjutan tempoh tersebut berikutan sambutan luar jangkaan yang diterima daripada masyarakat sepanjang tempoh promosi berlangsung pada tahun lepas dan sebagai hadiah sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi. Beliau berkata “ Kami amat memahami bahawa perkhidmatan Wasiat dengan harga promosi yang kami tawarkan sebelum ini sangat bernilai khususnya kepada masyarakat berpendapatan rendah, sehubungan itu kami tawarkan kembali pendaftaran Wasiat dengan harga promosi sebanyak RM350.00 sahaja (termasuk GST) walaupun struktur fi terbaharu sebanyak RM600.00 ( tidak termasuk GST) telah diumum dan berkuat kuasa pada 2 Januari 2017.”

Keputusan ini dilaksana setelah mengambil kira keperluan AmanahRaya bagi mendidik masyarakat di Malaysia secara berterusan mengenai kepentingan Perancangan Pewarisan juga bagi menangkis tanggapan sesetengah pihak mengenai kepincangan instrumen berkenaan. Tambah beliau “Kami bukan sahaja mendidik masyarakat mengenai kepentingan Perancangan Pewarisan bahkan kami turut berusaha gigih menawarkan perkhidmatan yang lebih efisyen dan memudahkan pelanggan. Penulisan Wasiat bukanlah satu matlamat akhir, malah dengan Wasiat kita bakal memudahkan urusan pentadbiran dan juga pembahagian Harta Pusaka.

Di samping harga promosi berkenaan, pewasiat juga layak menyertai ‘Kempen Wasiat ke Sejuta’ yang sedang berlangsung kini dan menangi hadiah sebanyak RM25,000.00 dalam bentuk deposit Akaun Amanah. Setakat 31 Disember 2016, sebanyak lebih kurang 968,000 wasiat telah didaftarkan di AmanahRaya.

Penerangan lanjut mengenai perkara ini boleh diperolehi dengan menghubungi kami di mana-mana lapan belas (18) cawangan di seluruh negara dan juga melalui talian CareLine iaitu 03-2072 9999.

Tamat

369