AMANAHRAYA PUPUK SIKAP PRIHATIN SEMPENA BULAN RAMADAN

____________________________________________________________________________

NOTA EDITOR

AMANAHRAYA PUPUK SIKAP PRIHATIN SEMPENA BULAN RAMADAN

Kuala Lumpur, 1 Jun 2017 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini mengedarkan bubur lambuk kepada para pelanggan dan orang ramai bersempena bulan Ramadan di sekitar Wisma AmanahRaya. Program edaran bubur lambuk dihadiri oleh Pengerusi AmanahRaya,YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Pengarah Urusan Kumpulan,Yang Berusaha Encik Adenan Md Yusof. Edaran tersebut dijalankan sebanyak 6 kali sepanjang bulan Ramadan sebagai inisiatif AmanahRaya bagi mendekati masyarakat dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, semasa sesi pengagihan berkata “program edaran bubur lambuk yang dianjurkan pada hari ini merupakan salah satu platform komunikasi di antara AmanahRaya dengan masyarakat sempena bulan Ramadan yang mulia ini.”

AmanahRaya turut mengadakan Kempen Wasiat Aidilfitri yang bertujuan untuk menggalak masyarakat melaksanakan Wasiat yang merupakan salah satu instrumen penting dalam Perancangan Pewarisan. Kempen tersebut yang bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2017, diadakan bersesuaian dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba di mana pada ketika itu semua ahli keluarga akan berkumpul bagi meraikan sambutan tersebut. Ia merupakan masa terbaik bagi membincangkan mengenai Perancangan Pewarisan bersama keluarga yang tersayang.

Pada masa yang sama, AmanahRaya turut berkongsi maklumat mengenai Kempen Wasiat ke Sejuta di mana Pewasiat yang ke Sejuta akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 25,000.00. Maklumat mengenai kedua-dua kempen tersebut telah dimuat naik di Laman Sosial AmanahRaya.

Selaras dengan usaha AmanahRaya bagi mengukuhkan kefahaman masyarakat mengenai fungsi dan peranannya, bermula hari ini dan sepanjang bulan Ramadan, Iklan Komersial AmanahRaya turut disiarkan di saluran TV3.

Selain itu, Laman Sesawang Rasmi AmanahRaya yang berwajah baharu dengan rekabentuk yang lebih interaktif dan mesra pengguna juga turut dilancarkan pada hari ini. Laman Sesawang yang baharu ini direka bagi memudahkan capaian pengguna agar maklumat dapat diperolehi dengan lebih mudah dan pantas secara atas talian.

Program agihan tersebut yang bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan, Amanah Raya Berhad.

 

458