AMANAHRAYA RASMI PEJABAT BAHARU DI KOTA KINABALU SABAH

Kota Kinabalu, 13 Februari 2018 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) cawangan Kota Kinabalu hari ini merasmikan pejabat baharunya yang terletak di Bangunan KWSP Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Y.A.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah diiringi oleh YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi AmanahRaya dan Yang Berusaha Encik Adenan Md Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya.

YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi Amanah Raya Berhad semasa ucapan aluannya berkata “atas dasar keprihatinan AmanahRaya kepada pelanggan dan bakal pelanggannya, pada 6 November 2017 AmanahRaya Cawangan Kota Kinabalu ini telah berpindah dan tampil dengan wajah baharu dengan lokasi yang lebih strategik, persekitaran yang lebih kondusif dan fasiliti yang lebih lengkap.”

AmanahRaya mengambil inisiatif memindahkan pejabat cawangan Kota Kinabalu bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya dan Sabah amnya. Lokasi baharu ini juga berhampiran dengan pejabat kerajaan yang lain dengan kemudahan pengangkutan yang lebih baik.

YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik juga mengharapkan agar lebih ramai rakyat di negeri Sabah dapat mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan Perancangan Pewarisan dan berpeluang mendapatkan penerangan lanjut mengenai perkhidmatan Penulisan Wasiat, Pengurusan Amanah dan Pentadbiran Pusaka yang ditawarkan oleh AmanahRaya.

Selain itu, YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik turut mengumumkan mengenai Kempen Wasiat yang dijalankan oleh AmanahRaya sempena sambutan Tahun Baru Cina ini bagi menggalak masyarakat melaksanakan Wasiat yang merupakan salah satu instrumen penting di dalam Perancangan Pewarisan. YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik turut berkongsi maklumat mengenai

kempen ke-1 juta oleh AmanahRaya di mana Pewasiat yang keSejuta akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.00. Maklumat mengenai kedua-dua kempen tersebut telah dimuat naik di Laman Sosial AmanahRaya.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh lebih kurang 200 tetamu yang terdiri daripada barisan pengurusan dan pegawai AmanahRaya serta pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta juga pelanggan AmanahRaya.

TAMAT

633