AMANAHRAYA SAHUT SERUAN PERANGI RASUAH DENGAN IBR

Kuala Lumpur, 18 Disember 2017- Amanah Raya Berhad ( AmanahRaya) hari ini mengadakan program melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Wisma AmanahRaya yang disempurnakan oleh YBrs Encik Adenan Md Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad sambil disaksikan oleh YBhg Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengerusi Amanah Raya Berhad, YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik turut sama melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada program tersebut. Ikrar Bebas Rasuah ini merupakan inisiatif proaktif AmanahRaya untuk memelihara integriti dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa AmanahRaya komited melaksanakan tugas dengan telus dan tidak prejudis ke atas mana-mana warga kerja Kumpulan AmanahRaya yang terlibat dalam gejala rasuah. YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi Amanah Raya Berhad berkata ” Sebagai salah sebuah agensi milik penuh kerajaan, program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan salah satu daripada kerjasama strategik yang dirangka pengurusan dengan kerjasama SPRM bagi meningkatkan rasa tanggungjawab pengurusan syarikat dan warga kerja Kumpulan AmanahRaya dalam memerangi rasuah bermula daripada pembudayaan amalan integriti yang tinggi kerana ia merupakan “tiang asas” dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.” AmanahRaya sebelum ini pada 24 April 2006 telah mewujudkan Pelan Integriti AmanahRaya (PIA) merupakan syarikat milik penuh kerajaan yang pertama mempunyai pelan integritinya sendiri dan AmanahRaya turut melancarkan Kod Etika Perniagaan AmanahRaya (COBE) pada 5 Jun 2007 selari dengan seruan kerajaan bahawa pentingnya Integriti dalam menjalankan semua urusan dalam kalangan Warga Kerja Kumpulan AmanahRaya. Ini membuktikan bahawa AmanahRaya sentiasa berusaha agar warga kerjanya menolak amalan rasuah sepenuhnya. YBhg Tan Sri Sabbaruddin Chik pada masa yang sama turut mengharapkan agar semua warga kerja Kumpulan AmanahRaya dapat meneruskan komitmen kerja, membudayakan amalan integriti yang tinggi dan terus bekerjasama berganding bahu sebagai satu pasukan untuk memerangi sebarang gejala rasuah dan penyalah gunaan kuasa. Program melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada pagi ini turut dihadiri oleh barisan Pengurusan Kanan, Ketua-ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan seramai 100 warga kerja Kumpulan AmanahRaya.

 

TAMAT

580