SYARIKAT PERAMANAHAN MALAYSIA DAN KOPERASI GABUNGAN MASJID-MASJID NEGERI MELAKA MENJALIN KERJASAMA

Kuala Lumpur 9 Mei 2017 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS) hari ini telah menandatangani Perjanjian Kerjasama bagi menjalankan kerjasama strategik yang disaksikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi AmanahRaya dan YB Senator Tan Sri (Dr) Haji Mohd Ali Rustam, Pengerusi KOGMAS.

AmanahRaya dan KOGMAS telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu masyarakat Islam luar bandar bagi melaksanakan pendaftaran dan penulisan Wasiat. Pegawai KOGMAS akan dilatih oleh AmanahRaya bagi mempromosikan produk dan teknik pemasaran yang bersesuaian. Kerjasama dengan AmanahRaya ini akan memperkukuhkan lagi usaha KOGMAS bagi mencapai aspirasi di dalam menawarkan perkhidmatan wasiat bagi masyarakat Islam di negeri Melaka selain merupakan produk nilai tambah bagi menjana ekonomi KOGMAS.

YB Senator Tan Sri (Dr) Haji Mohd Ali Rustam, Pengerusi KOGMAS dalam ucapan aluannya berkata melalui kolaborasi ini, masyarakat Islam di negeri Melaka khususnya di luar bandar akan berpeluang mendapatkan perkhidmatan Wasiat AmanahRaya melalui KOGMAS.

AmanahRaya menawarkan penyelesaian holistik dan komprehensif bagi Perancangan Pewarisan selama lebih 90 tahun. Setakat 30 April 2017, jumlah Wasiat yang didaftarkan di AmanahRaya adalah sebanyak 975,390 dan melalui jalinan kerjasama ini diharapkan agar jumlah tersebut akan mengalami peningkatan yang memberangsangkan. Sebagai agensi yang menawarkan perkhidmatan menyeluruh bagi Perancangan Pewarisan, kerjasama ini dilihat akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak selain daripada dapat mempertingkatkan kesedaran masyarakat dalam merancang kelangsungan hidup waris-waris yang bakal kita tinggalkan nanti.

YBhg Tan Sri Dato’ Sri Sabbaruddin Chik, Pengerusi AmanahRaya berkata “Kolaborasi ini memberi manfaat dan peluang kepada kedua belah pihak bagi menggabungkan kepakaran dan jalinan infrastruktur sedia ada di dalam mempromosikan perkhidmatan Perancangan Pewarisan yang ditawarkan oleh AmanahRaya.”

Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang seratus empat puluh (140) jemputan yang terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan Kakitangan daripada kedua-dua agensi. Dijangkakan kerjasama ini dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada agensi terbabit di dalam menyediakan perkhidmatan yang pelbagai kepada masyarakat di negeri Melaka.

Mengenai Amanah Raya Berhad:

Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), syarikat peramanahan terulung di Malaysia, yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka semasa memulakan operasinya pada 1 Mei 1921. Telah dikorporatkan pada 29 Mei 1995 dan dikenali sebagai Amanah Raya Berhad pada 1 Ogos 1995.

AmanahRaya menawarkan perkhidmatan Perancangan Pewarisan yang merangkumi; Penulisan, Penyimpanan dan Perlaksanaan Wasiat, Pentadbiran Pusaka dan Perkhidmatan Peramanahan.

Mengenai Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad:

Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka (KOGMAS) merupakan koperasi yang telah ditubuhkan pada 8 Februari 2013. KOGMAS merupakan pertubuhan koperasi yang menggabungkan koperasi-koperasi kariah masjid di seluruh negeri Melaka. Matlamat utama penubuhan KOGMAS adalah untuk meningkatkan dan mengembangkan ekonomi institusi masjid selain sebagai pusat ibadah dan mampu menjana ekonomi bangsa Melayu Islam.

Antara objektif lain penubuhan KOGMAS adalah bagi meningkatkan aktiviti bermasyarakat dalam koperasi dan menambah tabungan masa hadapan serta bagi mewujudkan komuniti masjid yang lebih besar.

493