Soalan Lazim Penamaan Amanah Raya bagi simpanan di KWSP
 
1. Apakah penglibatan AmanahRaya dalam penamaan simpanan Ahli di KWSP pada tahun 2018?

Bermula dari bulan Januari 2018, Ahli boleh melantik AmanahRaya sebagai :

i) Penama kepada simpanan KWSP Ahli; dan/atau

ii) Pemegang Amanah kepada Penama Kecil yang dilantik oleh Ahli bagi simpanan di KWSP.

 

2. Adakah pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah dibenarkan kepada semua Ahli?

Ya, semua Ahli boleh melantik AmanahRaya sebagai Penama.

Bagi Penamaan yang dibuat oleh Ahli Beragama Islam wang simpanan akan ditadbirkan sebagai harta pusaka.

Bagi Penamaan yang dibuat oleh Ahli Bukan Islam wang simpanan yang diterima akan dibayar mengikut arahan pembahagian Ahli tersebut.

Manakala hanya Ahli Bukan Islam sahaja dibenarkan untuk melantik AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penama Kecil yang dilantik oleh mereka. Ini termasuklah ahli berstatus Bukan Warganegara yang menjadi Ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998 atau telah mendapat Taraf Penduduk Tetap (PR).

 

3. Adakah sebarang fi dikenakan untuk menamakan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah kepada Penama Kecil?

Tiada sebarang fi dikenakan semasa proses penamaan dilakukan oleh Ahli.

 

4. Bagaimanakah pelantikan Penama dan/atau Pemegang Amanah boleh dibuat?

Pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah boleh dibuat dengan mengisi Borang Penamaan KWSP 4 yang boleh didapati di semua cawangan KWSP.

 

5.Apakah kelayakan Ahli untuk melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah?

Untuk melayakkan Ahli melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah keperluan berikut perlu dipatuhi:

a) Bagi pelantikan AmanahRaya sebagai Penama, Ahli mestilah mempunyai baki simpanan di KWSP;

b) Bagi pelantikan AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah, Ahli mestilah mempunyai baki simpanan dan telah melantik Penama Kecil bagi simpanan di KWSP.

 

6. Bolehkah pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah dibatalkan?

Pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah boleh dibatalkan namun tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh KWSP sebagaimana yang digariskan di dalam Maklumat Penting Penamaan Dan Panduan Mengisi Borang KWSP 4.

 

7. Bilakah sesuatu Penamaan dan/atau pelantikan Pemegang Amanah mula berkuatkuasa?

Sesuatu Penamaan dan/atau pelantikan Pemegang Amanah mula berkuatkuasa pada tarikh KWSP menerima Borang KWSP 4.

 

8. Apakah peranan yang dimainkan oleh AmanahRaya sebagai Penama kepada simpanan KWSP Ahli setelah berlakunya kematian Ahli?

Selepas kematian Ahli, AmanahRaya sebagai Penama kepada simpanan KWSP Ahli akan mengurus simpanan Ahli seperti berikut:

• Bagi Ahli Bukan Islam pembahagian dibuat mengikut arahan Ahli. Jika tiada arahan diberikan oleh Ahli maka pembahagian akan dilakukan berdasarkan Akta Pembahagian 1958.
• Bagi Ahli Beragama Islam simpanan akan ditadbirkan sebagai harta pusaka.

 

9. Apakah yang dimaksudkan dengan Pentadbiran Pusaka?

Pentadbiran Pusaka merupakan proses mengumpul dan menguruskan aset dan hutang-piutang simati serta mengagihkannya kepada waris yang berhak.
Pentadbiran Pusaka yang teliti dapat memastikan waris yang masih hidup dapat mewarisi harta pusaka simati.

 

10. Apakah proses yang terlibat dalam Pentadbiran Pusaka?

Proses yang terlibat dalam Pentadbiran Pusaka adalah antara lain :

a) mengenal pasti harta Ahli;
b) menyelesaikan hutang piutang Ahli (sekiranya ada);
c) mengeluarkan / mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir; dan
d) mengagihkan Pusaka kepada waris yang berhak disisi undang-undang.

 

11. Apakah yang dimaksudkan dengan peramanahan?

Peramanahan bermaksud suatu tanggungjawab fidusiari yang mengikat Pemegang Amanah untuk mengurus dan mentadbir harta amanah yang diperamanahkan kepadanya bagi kepentingan benefisiari yang dinamakan seperti yang diarahkan oleh Ahli.

 

12. Apakah peranan yang dimainkan oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah kepada Penama Kecil/benefisiari?

Selaku Pemegang Amanah AmanahRaya akan mengikut arahan yang dinyatakan oleh Ahli.

Manakala selaku Pemegang Amanah kepada Penama Kecil, AmanahRaya akan menyimpan selamat, menyelenggara serta mengurus simpanan Ahli bagi kepentingan Penama Kecil/benefisiari yang dilantik oleh Ahli.

Selain itu, pengeluaran simpanan Ahli bagi sara hidup, persekolahan, perayaan serta keperluan khusus bagi Penama Kecil/benefisiari akan dibuat oleh AmanahRaya berdasarkan permohonan dan keperluan mereka.

 

13. Apakah kelebihan yang akan diperolehi oleh Ahli apabila melantik AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penama Kecil?

Diantara kelebihan yang akan diperolehi oleh Ahli apabila melantik AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah kepada Penama Kecil adalah :

a) AmanahRaya merupakan satu perbadanan milik penuh kerajaan yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam menjalankan tugas-tugas peramanahan;

b) Melindungi kepentingan benefisiari terutamanya benefisiari bawah umur atau Penama Kecil;

c) Memperuntukkan harta kepada benefisiari yang diinginkan untuk tujuan tertentu mengikut kehendak Ahli;

d) Peramanahan tidak terikat kepada pembekuan harta dan tidak tertakluk kepada Pentadbiran Pusaka; dan

e) Jaminan tiada penyusutan modal (capital preservation) dan memberikan pulangan yang kompetitif dari pelaburan wang Amanah.

 

14. Adakah simpanan Ahli kekal di KWSP sekiranya Ahli melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah?

Ya, simpanan Ahli akan kekal di KWSP sekiranya Ahli melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah dan simpanan Ahli hanya akan diserahkan kepada AmanahRaya setelah kematian Ahli.

 

15. Berapakah fi dan/atau caj yang dikenakan bagi Pentadbiran Pusaka yang dilaksanakan oleh AmanahRaya?

Bagi penamaan AmanahRaya yang melibatkan Pentadbiran Pusaka fi dan/atau caj istimewa diberikan berbanding dengan Fi dan/atau caj istimewa yang dikenakan adalah seperti berikut :

● 2% atas RM 1,000,000.00 pertama;
● 1% atas baki
● Tiada fi dan caj lain dikenakan.
● Bagi simpanan yang berjumlah RM5, 000.00 dan ke bawah, tiada fi
perkhidmatan dan bayaran proses dikenakan.

 

16. Berapakah fi dan caj yang dikenakan bagi Pentadbiran Amanah yang dilaksanakan di AmanahRaya?

Bagi penamaan AmanahRaya yang melibatkan Pentadbiran Amanah, fi dan/atau caj istimewa diberikan kepada Ahli.

Fi dan/atau caj istimewa yang diberikan adalah seperti berikut :
● 1.5% atas RM 1,000,000.00 pertama;
● 1% atas baki Atau RM17,500.00 (yang mana lebih rendah)
● Tiada fi dan caj lain dikenakan.

 

17. Adakah simpanan Ahli dijamin oleh AmanahRaya?

Ya Simpanan Ahli samada yang melibatkan Pentadbiran Pusaka atau Pentadbiran Amanah adalah dijamin.

 

18. Apakah keistimewaan lain jika melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah?

AmanahRaya turut menawarkan Wasiat Komprehensif secara PERCUMA kepada Ahli;

 

19 . Bagaimanakah penebusan Wasiat Komprehensif dibuat dan berapa lamakah penebusan Wasiat tersebut boleh dilakukan?

a) Penebusan Wasiat Komprehensif boleh dibuat dimana-mana cawangan
AmanahRaya dengan mengemukakan Salinan Penamaan daripada i- Account
KWSP.

b) Penebusan Wasiat Komprehensif tersebut perlu dilakukan dalam tempoh 3
bulan daripada tarikh penamaan dibuat.

c) Bagi Ahli yang telah mempunyai wasiat dengan AmanahRaya, Ahli layak
untuk menerima satu pindaan kepada wasiat secara percuma dalam tempoh 6
bulan daripada tarikh penamaan dibuat.

 

20. Apakah yang perlu dilakukan oleh waris sekiranya Ahli yang melantik AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah meninggal dunia?

Apabila Ahli meninggal dunia waris perlu melakukan perkara-perkara berikut:

a) Memaklumkan kepada AmanahRaya bahawa Ahli telah meninggal dunia dan memberikan salinan dokumen berikut iaitu Sijil Kematian / Perakuan Kematian / Permit Pengkebumian / Perintah Anggapan Kematian ahli yang disahkan; dan

b) Waris boleh melayari laman sesawang AmanahRaya iaitu www.amanahraya.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan AmanahRaya dan cawangan-cawangan AmanahRaya di seluruh Malaysia.

 

21. AmanahRaya lengah/ lewat permohonan kepada KWSP (isu bantuan kematian)

AmanahRaya akan memproses permohonan dengan segera setelah menerima permohonan lengkap dari waris. Pada masa yang sama AmanahRaya akan memaklumkan kepada waris Ahli mengenai bantuan/ khairat kematian yang boleh dipohon di KWSP.

 

22. Hutang simati (Ahli) melebihi simpanan KWSP yang ada.

Sekiranya hutang Ahli melebihi daripada simpanan KWSP dan aset-aset lain Simati, maka harta pusaka tersebut dikategorikan sebagai “Insolvent”.

22a. Bayaran kepada waris hanya dibuat oleh AmanahRaya setelah semua hutang diselesaikan.

Pengesahan kategori Harta Pusaka simati hanya boleh ditentukan setelah siasatan dibuat ke atas semua aset dan liabiliti simati.

 

23. Simati berstatus muflis/bankrap

Jika Ahli Bukan Islam berstatus MUFLIS dan benefisiari telah dinamakan bagi tujuan arahan pembahagian wang KWSP, maka wang KWSP Ahli akan dibahagikan mengikut arahan Ahli.

 

24. Waris berstatus muflis/bankrap

Tertakluk kepada carian kebankrapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, apabila berlakunya situasi di mana waris berstatus muflis / bankrap, segala harta yang sepatutnya diterima oleh waris tersebut hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 58 Akta Kebankrapan 1967.

 

25. Perubahan kadar fi AmanahRaya

Kadar fi dan/atau caj istimewa yang ditawarkan oleh AmanahRaya adalah tertakluk kepada semakan mengikut kepada keperluan dan fi yang tergunapakai adalah mengikut masa penamaan yang dibuat oleh Ahli.

 

26. Bantahan diterima oleh waris setelah pengagihan selesai dibuat
Segala pengagihan Harta Pusaka simati yang dilakukan oleh AmanahRaya adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Namun, jika terdapat sebarang bantahan oleh waris selepas pengagihan selesai dibuat boleh dimajukan terus kepada AmanahRaya untuk siasatan dan nasihat yang sewajarnya akan diberikan berdasarkan keperluan dan keadaan kes.

 

27. Bayaran dividen (tertakluk kepada AmanahRaya)

Pulangan pelaburan kepada Ahli adalah tertakluk kepada Seksyen 27 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, di mana pembayaran dividen adalah pada kadar munasabah yang diluluskan oleh Menteri setelah mengambil kira prestasi pelaburannya.

Oleh yang demikian, AmanahRaya bersetuju untuk memberikan dividen pada kadar yang berikut;

Butiran Dividen

1. Akaun kurang dari 1 tahun= Maksima 2.5%

2. Akaun melebihi 1 tahun= Mengikut kadar perisytiharan dividen semasa dan tidak kurang daripada 2.5%

Nota : Mengikut perkiraan prorata dan tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

 

28. Bagi Ahli yang memilih Simpanan Shariah. (Proses & prosedur AmanahRaya)

Pelaburan patuh shariah akan digunapakai bagi caruman KWSP Islamik.

 

29. Ahli bukan warganegara yang memilih AmanahRaya sebagai Penama.

Ahli bukan warganegara boleh menamakan AmanahRaya sebagai Penama atau Pemegang Amanah kepada simpanan di KWSP.

 

30. AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah bagi Penama Kecil (18 tahun ke bawah)

Apabila Penama Kecil telah mencapai umur 18 tahun, baki harta Amanah yang ditadbir oleh AmanahRaya akan dibayar kepada Penama Kecil.

Apa yang berlaku setelah waris 18 tahun?

Manakala bagi Penama Kecil yang cacat mental atau fizikal (kurang upaya menguruskan kewangan/diri), maka harta Amanah tersebut akan ditadbir seumur hidup oleh AmanahRaya atau sehingga Penama Kecil tersebut berupaya untuk menguruskan kewangan / diri sendiri dan tertakluk kepada Perintah Mahkamah.

 

31. Bagaimanakah Ahli boleh membuat pertanyaan lanjut mengenai pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah?

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan pelantikan AmanahRaya sebagai Penama dan/atau Pemegang Amanah dan pelaksanaannya boleh dirujuk terus kepada AmanahRaya melalui rangkaian berikut:

Talian Bebas Tol : 1-800-888-ARB(272)
Talian Utama : 03-2055 7388
WhatApps : 011-2068 0612
Faks : 03-2031 6161
Emel : crmd@arb.com.my
Laman Sesawang KWSP : http://www.kwsp.gov.my/portal/home