AmanahRaya Perkasa Literasi Kewangan Generasi Muda

Oktober 6, 2026

Kuala Lumpur, 6 Oktober 2026 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), melalui Yayasan AmanahRaya, terus memperkasa generasi muda dengan menjadikan literasi kewangan sebagai salah satu tumpuan dalam usaha pembangunan dan kesejahteraan masyarakat menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Usaha ini diterjemahkan melalui program “Money & Mind”, iaitu program literasi kewangan dengan kerjasama Jordan Konsult yang melibatkan lebih kurang 300 pelajar Tingkatan 3 di SMK Seri Ampang dan SMK Keramat Wangsa. Program yang dilaksanakan selama 2 hari di setiap sekolah pada 14 dan 15 September serta 22 September dan 6 October 2026, memberi pendedahan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mengenai pengurusan kewangan dan kepentingan membentuk tabiat kewangan yang bertanggungjawab sejak usia muda.

AmanahRaya telah menyumbang sebanyak RM50,000, bagi menyokong pelaksanaan program yang merangkumi 8 modul literasi kewangan antaranya seperti pengurusan kewangan dengan kesejahteraan mental dan emosi juga kesan tekanan kewangan terhadap kesejahteraan individu.

Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, berkata, “Literasi kewangan merupakan satu kemahiran penting yang perlu dipupuk sejak usia muda. Pendedahan kepada pengetahuan kewangan yang betul dapat membantu golongan muda membina tabiat kewangan yang baik serta membuat keputusan yang lebih bijak dan bertanggung jawab pada masa hadapan.”

“Bagi AmanahRaya, usaha memperkasakan masyarakat bukan sekadar memberikan bantuan, tetapi turut membekalkan ilmu dan kemahiran yang dapat memberikan manfaat dalam jangka panjang. Kami komited untuk terus menyokong inisiatif yang meningkatkan pengetahuan dan kesedaran generasi muda, khususnya dalam aspek literasi kewangan,” katanya.

Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya komited untuk terus memperkasa masyarakat menerusi pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan generasi muda.